Warga Indonesia dipenjara sebulan ceroboh kem tentera Gemas

Oleh – Syeikh Baran


Warga Indonesia dipenjara sebulan ceroboh kem tentera Gemas

Seorang lelaki warganegara Indonesia dijatuhkan hukuman penjara sebulan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh Kem Syed Sirajuddin Gemas di Tampin, bulan lalu.



Tertuduh, Irawan, 21, yang merupakan buruh ladang serta berasal dari Lombok, Indonesia membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Majistret membuat keputusan berkenaan selepas mempertimbangkan rayuan serta hujahan pemberat pihak pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menceroboh masuk ke dalam kawasan kem menuju ke depan pintu utama Kem Syed Sirajuddin Gemas milik Angkatan Tentera Darat Malaysia dengan niat hendak menggusarkan pemilik tanah itu.

Perbuatan itu dilakukan pada 21 April lalu kira-kira pukul 3.50 pagi.



Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, hasil siasatan mendapati tertuduh menyatakan berjalan di dalam keadaan gelap pada waktu malam dan tersesat telah ternampak satu bangunan bercahaya.

Tertuduh telah berjalan di dalam kawasan kem menuju ke laluan tersebut dan mendapati tempat itu adalah pintu utama Kem Syed Sirajuddin.



Hasil pemeriksaan awal pengawal pintu hadapan kem, tertuduh gagal menunjukkan sebarang kad pengenalan diri dan pasport dan pengawal bertugas telah merujuk kes kepada Pegawai Bertugas 24 jam berhubung penahanan tersebut.

Pegawai Bertugas 24 jam kemudiannya telah menghubungi Pegawai Pemerintah 105 KPTD Syed Sirajuddin dan diarahkan untuk membawa tertuduh ke balai polis bagi tindakan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya menyatakan masih bujang dan mempunyai tanggungan keluarga.



Bagaimanapun, Muhammad Amirul dalam hujahannya memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh dan mempertimbangkan kepentingan serta ketenteraman awam.

“Tempat berkenaan merupakan hak milik kerajaan dan mempunyai tiga pintu masuk sempadan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Jadi kemasukan individu warga asing boleh menggusarkan pihak ATM khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

“Mungkin warganegara am, tetapi boleh menjadi berlainan sekiranya (tertuduh) anggota elit dan sebagainya,” katanya.

Majistret kemudiannya bertanyakan pengenalan diri dan dokumen tertuduh masuk ke negara ini dan dimaklumkan bahawa tertuduh melarikan diri dari majikan serta tersesat sebelum itu.



Namun, apabila ditangkap siasatan lanjut mendapati terdapat pergerakan masuk ke negara ini, namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk pengesahan biometrik.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button