Tipu mangsa lebih RM11.39 juta guna nama ‘Goldman Sachs’

Oleh – Syeikh Baran


Tipu mangsa lebih RM11.39 juta guna nama ‘Goldman Sachs’
Ramli menunjukkan 12 individu tempatan yang terlibat dalam penyamaran pelaburan Goldman Sachs.

Seramai 12 individu tempatan termasuk dua wanita dikesan melakukan penipuan pelaburan dan menyamar sebagai syarikat pelaburan terkemuka dunia iaitu ‘Goldman Sachs’ sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM11.39 juta sejak bergiat aktif Februari tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menjalankan Operasi Nuri 27/4 di lima negeri iaitu Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak pada 29 April lalu dan pihaknya menangkap suspek berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun.



“Mereka berperanan sebagai pengarah syarikat dan pemilik perniagaan yang digunakan sebagai akaun keldai dalam aktiviti penipuan pelaburan yang dijalankan.

“Sehubungan itu, kita turut merampas lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama, satu pouch bag, dua salinan SSM, sehelai salinan borang pendaftaran perniagaan dan lima helai Form A, pendaftaran perniagaan,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.

Menurut Ramli, siasatan mendapati sindiket penipuan ini beroperasi secara dalam talian dengan menggunakan nama syarikat pelaburan yang terkemuka di dunia iaitu Goldman Sachs bagi memperdayakan mangsa.

“Laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp digunakan sebagai medium pemasaran dan komunikasi dengan mangsa manakala iklan promosi pelaburan sindiket dibuat melalui laman sosial dengan aplikasi sistem algoritma Facebook.



“Skim pelaburan ini menawarkan pulangan yang tinggi iaitu 15 hingga 200 peratus sebulan. Keuntungan pelaburan dijamin melalui bimbingan dan bantuan daripada pakar analisis pasaran modal atau Cikgu Trader.

“Untuk melabur, mangsa diminta memuat turun aplikasi ‘Bam Pro’ dan ‘Baly Pro’ di Apple store dan Play store seterusnya mangsa diarahkan membuat pindahan wang pelaburan ke akaun syarikat keldai yang ditetapkan oleh sindiket,” jelasnya.

Setakat ini, pihaknya membuka 29 kertas siasatan, manakala 41 laporan diterima melibatkan Pelaburan Goldman Sachs dengan nilai kerugian lebih RM11.39 juta.

“Kita telah mengenal pasti sejumlah 19 akaun bank melibatkan tiga syarikat dan 16 perniagaan yang disalah gunakan sebagai ‘mule akaun’ untuk menerima wang daripada mangsa.

“Suspek kini telah ditahan reman selama tiga hari sehingga semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.



Jelas beliau, meskipun baru sahaja bergiat aktif tahun lalu, sindiket itu telah memperdaya puluhan mangsa dengan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Justeru, Ramli turut menasihati orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan taktik sindiket yang menawarkan pulangan tidak masuk akal dalam masa yang singkat.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button