Titah Adendum: Dr. Zaliha tidak mahu ulas lanjut

Oleh – Syeikh Baran


Titah Adendum: Dr. Zaliha tidak mahu ulas lanjut
Dr. Zaliha.

“Sudah ada (ulasan) daripada Datuk Seri (Anwar Ibrahim), terus ikut apa yang sudah disebut, tiada apa-apa daripada saya,”.

Itu jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa ketika diminta mengulas mengenai kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.



Sebelum ini, Perdana Menteri pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Shah Alam (IDCC) dilaporkan berkata, titah itu mesti diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Anwar berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan berkenaan, biarpun ditohmah dan dilempar dengan pelbagai kritikan kononnya tidak berbuat apa-apa.

Pada 1 April lalu, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.



Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Terdahulu, Dr. Zaliha bersama Perdana Menteri serta isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Majlis Semarak Aidilfitri Kementerian Wilayah Persekutuan di sini tadi.

Pada majlis itu, seramai 200 anak istimewa turut diraikan selain menerima bantuan wang tunai.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button