Tomboi dijel lapan bulan mengaku curi duit sedekah

Oleh – Syeikh Baran


Tomboi dijel lapan bulan mengaku curi duit sedekah
TERTUDUH diiringi anggota selepas mengaku salah mencuri wang hasil sumbangan jemaah di dua buah surau di Melaka, bulan lalu. – Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

Seorang wanita berperwatakan lelaki dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan melarikan wang tabung milik dua buah surau di daerah ini bulan lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Hidayah Abdullah, 25, selepas tertuduh mengaku salah atas kesalahan tersebut.



Tertuduh didapati memecah masuk Surau Ar Rahmah, Jalan Limbongan di sini untuk mencuri wang RM700 pada pukul 9 malam pada 23 April lalu.

Sabit kesalahan tertuduh hendaklah dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didapati mencuri wang tabung Surau Selekoh Jalan Padang Temu, Kampung Padang Temu pda pukul 2 petang, 24 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda di bawah Seksyen 380 kanun sama.



Tertuduh merayu hukuman penjara yang singkat diberikan bermula dari tarikh tangkapan 24 April lalu, selain mempunyai anak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal selepas mengambil kira tertuduh mempunyai rekod kes curi dan pernah dipenjara selama enam bulan tahun lalu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bermula dari tarikh tangkapan bagi kedua-dua pertuduhan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button