Gusar ancaman anjing liar

Oleh – Syeikh Baran


Gusar ancaman anjing liar
SEKUMPULAN anjing liar yang berkeliaran di Taman Medan. FOTO Ihsan penduduk

Kehadiran kumpulan anjing liar di sekitar Blok 11, Pangsapuri Desa Mentari, Taman Medan di sini, menyebabkan penduduk berasa terancam dan bimbang dengan keselamatan mereka.

Tinjauan Harian Metro mendapati kumpulan anjing liar terbabit dilihat berkeliaran sekitar kawasan pangsapuri, taman permainan serta kawasan lot kedai, sekali gus menimbulkan keresahan penduduk.



Suri rumah, Norsiah Muhammad, 40, berkata, rata-rata penduduk di kawasan itu berasa terancam dengan kehadiran anjing terbabit yang turut bertindak agresif dengan mengejar mereka.

“Kalau jalan berseorangan memang anjing akan datang menyerang, dalam masa terdekat ini sudah ada empat kes berlaku.

“Susulan itu, ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghantar anak-anak ke sekolah walaupun kedudukannya hanya bersebelahan pangsapuri ini.

 

Norsiah berkata, penduduk juga sering membantu menghalau anjing liar di kawasan sekitar, namun ia hanya tindakan sementara kerana haiwan itu seolah-olah tidak takut.



Pengurus bangunan, Ariffin Mahaiyuddin, 54, berkata, dia sendiri pernah mengalami situasi dikejar anjing liar di kawasan itu,

“Memang takut dan terkejut. Haiwan itu kejar ketika saya sedang menunggang motosikal, biasanya ia lebih berani bila dalam kumpulan.

“Kalau seekor sahaja jarang ia menyerang. Kami berharap pihak berkuasa meneruskan operasi menangkap anjing liar di sini bagi menjamin ketenangan dan keselamatan penduduk” katanya.

Bagi peniaga makanan, Norhaliza Hashim, 50, berkata, biasa terdapat kumpulan lima hingga tujuh ekor anjing berkeliaran pada satu-satu masa terutama ketika Subuh atau malam.



“Anjing itu selalu pergi ke kawasan sampah untuk mencari makanan.

“Sudah banyak aduan dilaporkan kepada pihak berkuasa, namun kes anjing liar ini masih berleluasa di sini.

Mekanik, Mohd Norfadzelin Mazin, 40, berkata, kebanyakan haiwan terbabit tidak bertuan, dan tindakan segelintir penduduk yang memberi makanan mungkin menjadi punca ia sering berkumpul di sini.

“Haiwan ini sangat berbahaya, terutama kepada murid yang ingin ke sekolah setiap hari.



“Jadi, saya mengambil inisiatif untuk membuat senapang getah sendiri dan akan tembak anjing terbabit jika ia bertindak agresif,” katanya.

Sementara, peniaga makanan, Roshaliza Ghazali, 45, berkata, dia pernah melihat kanak-kanak dikejar kumpulan anjing liar berkenaan baru-baru ini.

“Kejadian berlaku jam 7 pagi semasa kanak-kanak itu ingin ke sekolah. Saya dengar dia menjerit meminta tolong.

“Kasihan dia, nasib baik ada orang datang bantu menghalau anjing itu,” katanya.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button