Suami isteri nafi terima deposit pelaburan RM68,385

Oleh – Syeikh Baran


Suami isteri nafi terima deposit pelaburan RM68,385
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. -Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima deposit berjumlah RM68,385 tanpa lesen yang sah, empat tahun lalu.

Tertuduh, Suchart Ee@Quah, 58, dan Kamontip Chu@Chim, 50, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.



Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama dengan suspek yang masih bebas telah menerima deposit daripada Jamaludin Jaafar, 57, berjumlah RM68,385 tanpa lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu dilakukan di Syarikat Giganation GIB Berhad, No. 20-1, Jalan BBP 1, Taman Bukit Beruang Permai dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Januari 2020.

Sabit kesalahan kedua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50 juta atau keduanya sekali mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan mencadangkan jumlah jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.



Peguam S. Daniel yang mewakili kedua tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan kedua tertuduh tidak bekerja dan menanggung tiga anak serta ibu yang lumpuh.

Difahamkan, Suchart selaku bekas pengarah manakala Kamontip sebagai kerani kewangan di syarikat berkenaan telah membayar wang jaminan sebanyak RM65,000 bagi tujuh pertuduhan yang dihadapi mereka di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah dan Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas kesalahan sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 seorang dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tarikh 11 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button