Kempunan jual RM854,000 mercun, bunga api raya haji

Oleh – Syeikh Baran


Kempunan jual RM854,000 mercun, bunga api raya haji
KUMAR (dua dari kanan) menunjukkan mercun yang dirampas hasil serbuan Op Taring Landai pada sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua, Johor Bahru hari ini. Foto BAZLAN IBRAHIM/ KOSMO!

Satu sindiket penyeludupan berputih mata apabila stok pelbagai mercun dan bunga api bernilai RM854,000 yang disimpan di sebuah gudang di Taman Scientex Senai di sini dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dalam serbuan Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kejayaan rampasan itu adalah hasil risikan Unit Risik Marin (URM) sebelum melakukan serbuan menerusi Op Taring Landai pada pukul 5.30 petang.



Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut dijadikan tempat penyimpanan pelbagai jenis mercun dan bunga api tidak berlesen.

“Pemeriksaan ke atas sebuah kontena di bahagian luar premis turut menjumpai bahan letupan dan bunga api.

“Sebanyak 427 kotak pelbagai jenis mercun dan bungai api antaranya ialah mercun jenis Happy Boom dan Pop Pop bernilai keseluruhan RM854,000,” katanya pada sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua di sini. Hadir sama ialah Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah.

Kumar berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket ini baharu beroperasi menjadikan premis di kawasan perindustrian itu berpengawal keselamatan sejak sebulan lalu.



Katanya, stok mercun dan bunga api itu dipercayai diseludup dan untuk dipasarkan dalam negara ini sempena hari raya Aidiladha nanti.

Menurut beliau, dalam serbuan terbabit seorang penjaga premis berusia 47 tahun diberkas dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button