ADUN Selat Klang belum terima notis Bersatu

Oleh – Syeikh Baran


ADUN Selat Klang belum terima notis Bersatu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari mengesahkan belum menerima sebarang notis rasmi daripada kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai kedudukannya dalam parti itu.

Beliau dalam masa sama mengakui tidak bimbang kerana yakin kedudukannya sebagai wakil rakyat tidak terjejas meskipun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.



“Sampai sekarang tidak ada apa-apa (notis diterima) daripada peguam atau Bersatu. Pindaan Perlembagaan Bersatu ini dikatakan bermula 1 April lalu tapi tindakan saya (isytihar sokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) bermula sebelum itu lagi.

“Saya melihat pindaan ini untuk masa depan (bermula 1 April) bukan sebelumnya. Sebab itulah tidak ada sebarang notis dihantar. Kalau mereka hantar notis kepada saya sekali pun, ia perlu melalui Lembaga Disiplin Bersatu, saya akan balas dan kemudian akan ada siasatan.

 

“Kemudian katakan Lembaga Disiplin sahkan saya bersalah, mereka hanya boleh ambil tindakan untuk pecat keahlian parti bukannya wakil rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas ceramah isu semasa Pakatan Harapan (PH) di Batang Kali, di sini pada malam Rabu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris sebelum ini dilapor berkata, keahlian wakil rakyat yang menyatakan sokongan terhadap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tergugur dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.



Ia susulan RoS meluluskan pindaan usul pindaan Perlembagaan Bersatu kerana ia memenuhi kehendak mengikut Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.

Selain Abdul Rashid, enam ahli Parlimen Bersatu turut menyatakan sokongan kepada Anwar berdepan kehilangan kerusi jika perlembagaan tersebut terpakai.

Enam individu itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.

Selain itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.



Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, hanya Speaker Selangor yang boleh menentukan kedudukan beliau sebagai ADUN, bukannya Bersatu.

“Jawatan ADUN kuasa Speaker, mereka (Bersatu) perlu usul kepada Speaker untuk pecat saya, tapi kalau Speaker kata tidak ada, maka tidak adalah,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button