Pekebun rugi RM112,000 diperdaya penyamar polis

Oleh – Syeikh Baran


Pekebun rugi RM112,000 diperdaya penyamar polis
Gambar Hiasan

Seorang pekebun kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya individu menyamar pegawai polis, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 56 tahun menerima panggilan daripada individu terbabit yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kononnya terdapat bungkusan atas nama mangsa.



Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata ‘pegawai polis’ itu memberitahu bungkusan itu mengandungi kad pengenalan dan kad bank mangsa.

Katanya lagi, individu itu juga memberitahu mangsa akan ditangkap jika maklumat tersebar memandangkan ia adalah sulit.

“Terpedaya dengan kata-kata suspek, mangsa kemudian berhubung dengannya melalui WhatsApp dengan tujuan untuk menyelesaikan perkara itu.

“Pada masa sama, suspek menyarankan mangsa membuat laporan polis secara dalam talian serta bayaran untuk diaudit oleh Bank Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Raiz Mukhliz berkata, mangsa membuat 16 transaksi ke dalam empat akaun bank yang berbeza berjumlah RM112,000.

Selain itu, katanya, mangsa juga diminta mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memasukkan dalam akaun bank diberikan suspek.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menuruti arahan itu dan mula tersedar ditipu lalu membuat laporan polis.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



“Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati termasuk membuat semakan nombor telefon dan akaun bank diberikan mana-mana individu.

“Jika terjebak dengan penipuan seperti ini, mereka diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sebagai tindakan awal menyekat pengaliran keluar wang daripada akuan suspek,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button