Afrika Selatan minta ICJ hentikan serangan Israel ke atas Rafah

Oleh – Syeikh Baran


Afrika Selatan minta ICJ hentikan serangan Israel ke atas Rafah
Orang ramai berjalan melepasi bangunan yang musnah di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. Foto Xinhua

Afrika Selatan pada Jumaat meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menghentikan serangan ketenteraan Israel di bandar Rafah di selatan Gaza, lapor Xinhua.

Dalam permintaan mendesak yang dikemukakan kepada mahkamah itu, Afrika Selatan meminta supaya Israel ‘segera menarik balik dan menghentikan serangan ketenteraannya’ di Rafah.



Israel juga diminta “segera mengambil langkah berkesan untuk memastikan dan memudahkan akses tanpa halangan ke Gaza bagi pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pegawai lain yang terlibat dalam penyediaan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,”kata Afrika Selatan.

Dalam permintaannya, Afrika Selatan menyatakan bahawa langkah-langkah sementara yang ditetapkan oleh mahkamah ‘tidak mampu sepenuhnya menangani keadaan yang berubah dan fakta baharu…’

Serangan tentera Israel ke atas Rafah menimbulkan “risiko besar” terhadap “bekalan kemanusiaan dan perkhidmatan asas ke Gaza, kelangsungan sistem perubatan Palestin, dan kelangsungan hidup rakyat Palestin di Gaza sebagai satu kumpulan.”

Ia juga “menimbulkan fakta baharu yang menyebabkan kerosakan tidak dapat dipulihkan kepada hak rakyat Palestin di Gaza.”



“Berdasarkan bukti yang sangat jelas, cara Israel melaksanakan operasi ketenteraannya di Rafah dan kawasan lain di Gaza adalah bersifat genosid. Ia mesti diperintahkan untuk berhenti,” katanya.

Afrika Selatan meminta mahkamah mengambil langkah tambahan untuk ‘melindungi rakyat Palestin di Gaza daripada pelanggaran hak mereka yang serius dan tidak boleh diperbaiki.’

“Keadaan yang sangat serius dihadapi lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin di Rafah, serta risiko kewujudan rakyat Palestin di Gaza sebagai sebahagian daripada kumpulan nasional, perkauman dan etnik Palestin, memerlukan tindakan lanjut oleh mahkamah,” katanya.

Ini adalah yang terbaru dalam siri permintaan yang dikemukakan oleh Afrika Selatan kepada ICJ berkaitan konflik Israel-Palestin.



Pada 29 Disember 2023, Afrika Selatan mengemukakan permohonan kepada ICJ untuk memulakan prosiding terhadap Israel berkaitan pelanggaran obligasi di bawah Konvensyen Genosid 1948 yang melibatkan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

ICJ, pada 26 Januari, mengarahkan Israel mengambil semua langkah yang boleh untuk mencegah tindakan genosid ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Afrika Selatan meminta ICJ pada 6 Mac supaya mengeluarkan lebih banyak perintah bagi mendesak Israel untuk menghentikan ‘kebuluran berleluasa’ di Semenanjung Gaza. Pada 28 Mac, ICJ mengarahkan Israel melakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan bantuan asas sampai kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button