Perhimpunan Agung PBB terima resolusi pertimbang semula keanggotaan Palestin

Oleh – Syeikh Baran


Perhimpunan Agung PBB terima resolusi pertimbang semula keanggotaan Palestin
Keputusan undian mengenai resolusi untuk Majlis Keselamatan PBB menimbang semula dan menyokong keanggotaan penuh Palestin ke dalam PBB dipaparkan semasa sesi khas Perhimpunan Agung PBB di ibu pejabat PBB di New York City pada Jumaat – Foto:AFP

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mengesyorkan satu resolusi menggesa permohonan Palestin sebagai anggota penuh PBB dan diberikan hak-hak tambahan dinilai semula.

Resolusi itu yang diterajui Emiriah Arab Bersatu (UAE) (bagi pihak Kumpulan Arab), diterima selepas mendapat sokongan majoriti dengan 143 negara anggota menyokong, sembilan menentang dan 25 berkecuali, lapor Agensi Anadolu.



Ditaja bersama Turkiye dan hampir 80 negara anggota, resolusi itu menzahirkan ” kekesalan dan kebimbangan” terhadap veto dari Amerika Syarikat (AS) di Majlis Keselamatan PBB pada 18 April lepas.

Menekankan kepentingan mempertahankan keadilan dan menghormati hak asasi manusia yang utama, resolusi itu menekankan keperluan menghormati integriti wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur.

Resolusi itu menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mempertimbangkan semula permohonan keanggotaan Palestin dalam PBB supaya diterima berdasarkan Perkara 4 Piagam PBB Palestin layak untuk menjadi anggota PBB.

Meminta supaya aturan tertentu dibuat bagi membolehkan penyertaan Palestin dalam sesi Perhimpunan Agung, ia juga menggesa supaya Palestin menyertai mesyuarat anjuran badan-badan PBB dan persidangan pertubuhan antarabangsa itu.



Resolusi itu bertegas mempertahankan hak warga Palestin untuk kemerdekaan dan kenegaraan serta menekankan kepentingan menghormati undang-undang antarabangsa merupakan asas kepada keamanan dan keselamatan di rantau itu.

Ia juga menggesa Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres supaya mengambil langkah yang diperlukan untuk melaksanakan resolusi yang diterima pakai pada masa ini. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button