Suspek kedua dibebaskan dengan jaminan

Oleh – Syeikh Baran


Suspek kedua dibebaskan dengan jaminan
Gambar Hiasan

Suspek kedua yang ditahan bagi membantu siasatan kes simbah asid terhadap penyerang Selangor FC, Faisal Halim, dibebaskan, hari ini.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkata, tindakan tersebut diambil setelah proses soal siasat selesai dan tempoh reman terhadapnya tamat hari ini.



Kata kenyataan itu, suspek boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk membantu siasatan dalam kes sekiranya diperlukan oleh PDRM.

“Tiada sebarang pengakuan dari suspek dan siasatan masih dijalankan oleh PDRM untuk mengesan suspek lain serta mendapatkan keterangan lanjut dalam kes ini,” katanya di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan lakaran wajah atau fotofit suspek kes simbah asid membabitkan tonggak bola sepak Selangor FC, Faisal Halim dalam proses disiapkan.

Beliau berkata, lakaran fotofit itu akan dibuat pada hari ini berdasarkan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.



Setakat ini, lebih 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

5 Mei lalu, penyerang kebangsaan, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira pukul 5 petang.

Susulan itu, polis telah menahan suspek pertama di sekitar Ampang, Selangor bagi membantu siasatan berkenaan kes tersebut.



Bagaimanapun, hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 20-an itu tidak terlibat dengan kes yang disiasat dan dibebaskan dengan jaminan polis.

6 Mei lalu, suspek kedua insiden simbah asid terhadap Faisal telah ditahan dan semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai tujuh rekod lampau.

Suspek berusia 30-an itu ditahan lewat petang di sekitar Bandar Baru Bangi dan direman lima hari sehingga hari ini.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button