86 peratus kemudahan asas disediakan di Kampung Orang Asli

Oleh – Syeikh Baran


86 peratus kemudahan asas disediakan di Kampung Orang Asli
Sebanyak 266 Kampung Orang Asli di Pahang direkodkan dan sebahagian besar daripadanya menerima kemudahan asas itu. – Foto fail NSTP

Hampir 86 peratus kemudahan asas membabitkan jalan, air dan elektrik disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Kampung Orang Asli (KOA) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata di Pahang, sebanyak 266 KOA di Pahang direkodkan dan sebahagian besar daripadanya menerima kemudahan asas itu.



“Namun begitu masih terdapat beberapa perkampungan yang masih tiada kemudahan asas kerana faktor lokasi, geografi dan status tanah.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 51 KOA di negeri ini masih tiada kemudahan elektrik, 47 KOA tiada kemudahan jalan dan tujuh KOA pula tiada bekalan air,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini hari ini.

Syed Ibrahim menjawab soalan Chan Chun Kuang (PKR-Semambu) yang ingin tahu jumlah KOA di Pahang yang masih tiada kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan.

Bagi memastikan KOA menerima kemudahan itu, beliau berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah dan negeri sentiasa berusaha mengenal pasti isu keperluan asas di perkampungan Orang Asli di negeri ini.



Katanya JAKOA juga akan memohon peruntukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengikut keutamaan berdasarkan kepadatan penduduk, kos operasi, akses ke lokasi kampung, status tanah dan pembangunan sosioekonomi.

“Bagi projek air dan elektrik yang berskala besar, JAKOA akan membekalkan data dan maklumat kepada KKDW untuk dimasukkan di Bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Bawah seliaan KKDW.

“JAKOA amat prihatin dan sentiasa mengambil berat dan akan terus komited dalam memastikan kemudahan asas dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button