Akaun keldai, integriti pegawai kewangan rumitkan siasatan

Oleh – Syeikh Baran


Akaun keldai, integriti pegawai kewangan rumitkan siasatan
Gambar Hiasan

Siasatan aktiviti jenayah wang haram dan pembiayaan keganasan di negara ini berdepan pelbagai halangan, termasuk isu teknikal yang merumitkan, kewujudan banyak keldai akaun serta kepincangan integriti pegawai dalam institusi kewangan.

Antara isu teknikal dihadapi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewaktu menjalankan siasatan ialah pembekalan dokumen melebihi tempoh penyimpanan dan pemfailan Transaksi Yang Mencurigakan (STR) yang diberikan institusi kewangan atau institusi pelapor.



Mendedahkan perkara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengakui disebabkan penilaian wajar terhadap pelanggan (customer due diligence – CDD) yang kurang ketat mengakibatkan kewujudan banyak akaun keldai dan pinjaman kepada pelanggan tidak layak, sekali gus ia dikesan merancakkan lagi aktiviti jenayah itu di negara ini.

“Ia antara cabaran utama yang dihadapi sewaktu siasatan dijalankan dengan sebahagian isu membabitkan di institusi kewangan atau dipanggil sebagai institusi pelapor itu sendiri.

“Kepincangan integriti oleh sebilangan pegawai dalam institusi kewangan turut menjadi punca masalah ini berlaku,” katanya kepada BH.

Dokumen lebihi tempoh



Mohamad Zamri memberi contoh, isu pembekalan dokumen yang melebihi tempoh penyimpanan atau retention period iaitu tujuh tahun menjadi halangan kepada siasatan yang lebih berkesan.

“Isu berhubung pemfailan STR juga kritikal dalam siasatan jenayah kewangan. Institusi pelapor seperti peguam, pengurup wang, akauntan, ejen hartanah dan setiausaha syarikat serta institusi seperti termaktub dalam Jadual Pertama Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), perlu memfailkan STR mengikut kehendak obligasi yang diperuntukkan dalam akta itu.

“Rasional kepada keperluan memenuhi obligasi ini adalah kerana profesion ini merupakan barisan hadapan yang mampu untuk membuat pengesanan awal terhadap sebarang aktiviti yang mencurigakan dan menjadi penyampai maklumat yang berkesan kepada agensi penguatkuasaan,” katanya.

Dalam laporan muka depan BH baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengesan sekurang-kurangnya dua kesalahan utama yang sering dilakukan institusi kewangan negara sehingga menyebabkan kegiatan jenayah wang haram dan pembiayaan keganasan semakin terdedah dan berleluasa di negara ini.



Kesalahan itu adalah berkaitan kegagalan institusi kewangan menjalankan CDD dan saringan sekatan (sanctions screening) pada saat penerimaan pelanggan.

Kedua-dua langkah ini, kata BNM harus dilakukan institusi pelapor supaya penilaian risiko berkaitan aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (AML/CFT) tidak berlaku atau mungkin ditimbulkan oleh pelanggan kepada perniagaan atau organisasi.

Mohamad Zamri turut mengesahkan, kegagalan institusi kewangan dalam melaksanakan CDD terhadap identiti pelanggan yang membuat permohonan pembukaan akaun membuka banyak ruang kepada jenayah itu.

Beliau berkata, isu integriti sebilangan pegawai daripada institusi kewangan itu sendiri yang membawa kepada kewujudan akaun keldai yang berleluasa.



“Dapatan siasatan Ops SAMBA oleh Bahagian AML, baru-baru ini mengesan penggunaan keldai akaun bagi menyalurkan bayaran rasuah kepada pegawai daripada agensi penguat kuasa yang disiasat.

“Isu ini juga tidak terhad kepada isu akaun keldai sahaja tetapi turut dikaitkan dengan kelulusan pinjaman kewangan kepada individu dan syarikat yang tidak berkelayakan.

“Sebagai balasan terhadap kelulusan pinjaman ini, pegawai ini akan menerima komisyen yang dibayar melalui pihak ketiga yang menguruskan pinjaman berkenaan.

“Tindakan ini secara langsung membawa kepada kerugian terhadap institusi kewangan apabila bayaran balik pinjaman gagal dilunaskan oleh individu yang tidak berkelayakan,” katanya.



Sehubungan itu, Mohamad Zamri menekankan kerjasama oleh Bahagian Pematuhan daripada institusi kewangan dan institusi pelaporan perlu ditambah baik dalam membantu SPRM serta agensi penguat kuasa mendapatkan maklumat ketika menjalankan siasatan.

“Institusi pelaporan ini juga bukan hanya tertumpu kepada institusi kewangan, tetapi turut membabitkan institusi lain seperti dalam Jadual Pertama AMLATFPUAA,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button