Wakil UMNO, MCA, PKR dan Amanah jadi ADUN lantikan di Pahang

Oleh – Syeikh Baran


Wakil UMNO, MCA, PKR dan Amanah jadi ADUN lantikan di Pahang
WAN ROSDY Wan Ismail membawa usul pelantikan ADUN Lantikan pada Persidangan DUN Pahang di Kuantan hari ini.

Tanda tanya siapa yang akan menjawat jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan di negeri ini akhirnya terjawab hari ini selepas empat tahun lantikan itu diluluskan oleh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Dalam sidang DUN Pahang yang berakhir hari ini mengumumkan nama ADUN tersebut iaitu Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri, Ketua MCA Bahagian Temerloh, Datuk Wong Tat Chee dan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah.



Turut berada dalam senarai adalah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly dan Timbalan Pengerusi PKR negeri, Rizal Jamin.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membawa usul berkenaan mengikut Fasal (1) Perkara 18A, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Usul disokong tujuh wakil rakyat kerajaan Perpaduan iaitu, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain (BN-Tioman); Datuk Seri Shafik Fauzan Shariff (BN-Inderapura); Datuk Abd. Aziz Mat Kiram (BN-Batu Talam), Mohd. Sharim Md. Zain (BN-Chini); Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP-Tras); Thomas Su Keong Siong (DAP-Ketari) dan Ho Chi Yang (DAP-Tanah Rata) dan diluluskan.

Sebelum cadangan nama itu diluluskan, usul tersebut mendapat bantahan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang menyifatkan tiada keperluan ia dibuat pada ketika ini selain membazirkan duit kerajaan negeri.



Andansura Rabu (PN-Beserah) berkata, PN pada dasarnya bersetuju dengan cadangan melantik ADUN Lantikan tetapi berpandangan ia perlu ditangguh sehingga peranan wakil rakyat dilantik itu jelas tentang tugas dan tanggungjawab mereka.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) pula berpandangan, sokongan pihaknya sebelum ini berasaskan kepada syarat untuk melantik ADUN Lantikan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan minoriti dan bukan mereka yang terlibat atau bergiat aktif dalam politik.

“Semua lima nama yang dinamakan itu kita lihat semua tokoh politik. Jadi, kita rasa ia tiada keperluan selain dibuat demi kepentingan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kesemua lima ADUN Lantikan tersebut akan mengangkat sumpah jawatan pada sidang dewan akan datang yang dijangka pada bulan Ogos ini.



“Tugas dan peranan mereka sama seperti wakil rakyat sedia ada. Mereka boleh mengundi dan berbahas,” katanya.

Pada 20 November 2020, Persidangan DUN Pahang Ke-14 meluluskan Usul Pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi melantik ADUN secara lantikan.

Kerajaan negeri mencadangkan pindaan itu bertujuan mewujudkan ADUN dilantik tanpa melalui proses pilihan raya bagi menduduki dan menyertai DUN. Bilangan dicadangkan lima orang menjadikan keseluruhan ADUN tidak lebih 47 orang termasuk 42 wakil rakyat sedia ada menerusi proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Pelantikan ADUN tanpa pilihan raya bukan perkara baharu di negara ini kerana Sabah dan Terengganu sudah pun melaksanakannya. Bagaimanapun, pelantikan itu tentunya mempunyai had-had tertentu termasuk tidak boleh dilantik sebagai Menteri Besar.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button