Lelaki cedera ditumbuk gara-gara didakwa pandu melulu

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki cedera ditumbuk gara-gara didakwa pandu melulu
Tangkap layar video tular memaparkan seorang pemandu kereta dipukul selepas didakwa memandu secara melulu dalam kejadian di hadapan sebuah restoran dekat Bandar Bukit Tinggi pada Isnin.

Gara-gara didakwa memandu secara melulu sehingga hampir melanggar sebuah motosikal, seorang lelaki cedera ditumbuk dalam kejadian di hadapan sebuah restoran dekat Bandar Bukit Tinggi di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 19 tahun membuat laporan polis kira-kira jam 10.48 malam berhubung kejadian terbabit.



“Siasatan mendapati, kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu berlaku ketika mangsa memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam didakwa secara melulu masuk ke ruangan parkir di hadapan restoran berkenaan.

“Kenderaan dipandu mangsa didakwa hampir terlanggar sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki sebelum berlakunya pertengkaran antara kedua-dua mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, keadaan semakin tegang apabila abang kepada penunggang motosikal terbabit tiba di lokasi kejadian.

“Individu terbabit bertindak memegang baju dan menolak mangsa ke atas bonet kereta sebelum abangnya itu menumbuk beberapa kali di bahagian muka mangsa.



“Mangsa bertindak melarikan diri sebelum pertelingkahan itu diredakan orang ramai yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Hoong Fong berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kening dan siku sebelah kanan akibat kejadian.

“Susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

“Beberapa individu terlibat ketika kejadian telah dirakam keterangan dan kertas siasatan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.



Pada Selasa, tular video di media sosial memaparkan seorang individu dipukul selepas didakwa memandu secara melulu sehingga hampir mengakibatkan kemalangan di hadapan sebuah restoran.

Video berkenaan turut memaparkan mangsa ditumbuk sebelum kejadian itu diredakan orang ramai yang berada sekitar lokasi kejadian.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button