Monsun Barat Daya bermula Jumaat, seluruh negara akan kurang alami hujan
Oleh – Syeikh Baran
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat pembakaran terbuka sepanjang tempoh Monsun Barat Daya yang bermula Jumaat ini, kerana boleh menyebabkan jerebu berlaku, terutamanya di antara Julai hingga September.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata Monsun Barat Daya dijangka bermula 17 Mei ini akan berterusan sehingga September 2024.
“Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan yang membawa kepada taburan hujan yang lebih rendah dalam tempoh berkenaan.
“Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding bilangan hari hujan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.
“Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” katanya.
Muhammad Helmi berkata, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi.
“Garis badai adalah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi Jabatan dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.