Rungutan bekalan beras tempatan sudah berkurangan

Oleh – Syeikh Baran


Rungutan bekalan beras tempatan sudah berkurangan
Menteri Pertanian dan dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melawat pameran pada program Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi Jabatan Perkhidmatan 2024 di Dewan Bankuet UPM. – Foto HAZREEN MOHAMAD

Rungutan yang diterima berhubung masalah ketiadaan beras tempatan dilihat semakin berkurangan, susulan inisiatif kerajaan mengarahkan 140,000 tan bekalan bahan itu diproses dan dikeluarkan segera dari kilang, sejak Mac lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, bagaimanapun berkata, isu berhubung bekalan beras tempatan akan berterusan selagi tahap sara diri (SSL) bagi bahan itu tidak mencapai 80 peratus.



Beliau berkata, namun KPKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memainkan peranan bagi mengatasi segala kekurangan yang ada.

“Bekalan sedang berada di pasaran, walaupun ada loophole (kelompangan) sana sini, agensi di bawah pihak KPKM serta KPDN memerhati, selain bertindak segera.

“Rungutan sekarang sudah berkurangan jika dibandingkan peringkat awal dulu namun masalah akan berterusan jika beras kita tidak capai sekurang-kurangnya SSL 80 peratus,” katanya ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi Tahun 2024 Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Mac lalu, kerajaan mengumumkan empat inisiatif untuk mengatasi isu kekurangan beras dalam pasaran termasuk memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang dibeli pengilang berjumlah 140,000 tan diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta.



Pada masa sama, Mohamad berkata, kadar SSL beras tempatan negara adalah pada 62 hingga 63 peratus kini.

Beliau berkata, melalui pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan, penghasilan padi mula menunjukkan peningkatan yang baik.

“Selain itu, melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kerajaan sanggup membelanjakan lebih RM5 bilion untuk projek tanaman padi lima kali dua musim di kawasannya,” katanya.

Sementara itu, mengenai daging ternakan ruminan, Mohamad berkata, kerajaan mengakui SSL bekalan itu berada di bawah 20 peratus.



Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan yakin kadar SSL itu mampu ditingkatkan kepada 50 peratus selaras dengan Pelan Strategik Pembangunan Industri Pegading Negara menjelang 2030.

“Kita sedang berusaha, namun (Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar) kata boleh (capai sasaran) bila pengarah kata boleh, saya akan periksa.

“Sehingga kini dalam bidang ruminan kita masih jauh berada di bawah 20 peratus dengan bergantung kepada import yang tinggi dari Australia, New Zealand dan India,” katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan SSL daging ternakan ruminan, kerenah birokrasi perlu ditangani pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam aspek pembukaan ladang untuk menternak haiwan ternakan.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button