Mahkamah Rayuan batalkan rayuan 5 bekas penuntut UPNM

Oleh – Syeikh Baran


Mahkamah Rayuan batalkan rayuan 5 bekas penuntut UPNM
Gambar Hiasan

Mahkamah Rayuan hari ini, membatalkan rayuan lima bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun kerana mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, memutuskan demikian selepas kelima-limanya menarik balik rayuan masing-masing.



Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Abdoul Hakeem Mohd Ali dengan kesemuanya kini berusia 28 tahun.

“Dengan ini, mahkamah membatalkan rayuan kelima-lima perayu (bekas penuntut UPNM terbabit),” kata Hadhariah.

Terdahulu, peguam, Amer Hamzah Arshad memaklumkan, semua individu itu menarik balik rayuan berkenaan kerana ia bersifat akademik atau tidak lagi relevan kerana sudah menjalani hukuman penjara sejak 2021.

Perkara itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya K Mangai.



Amer Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kelima-lima lelaki itu kini fokus rayuan mengikut 304 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat.

Penuntut itu ialah lima perayu berkenaan dan Mohamad Shobirin Sabri.

Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.



Abdoul Hakeem pula didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 KK yang membawa hukuman sama.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya mendapati, keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) KK.

Mahkamah itu juga menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh, kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya, selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan.

Mohamad Shobirin sebelum ini didakwa atas kesalahan mencederakan, tetapi dilepaskan daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.



Dua belas rakan penuntut itu pula ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM pada 21 dan 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun tahun sama.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button