Hasil siasatan kes anak Menteri Besar Perlis minggu depan

Oleh – Syeikh Baran


Hasil siasatan kes anak Menteri Besar Perlis minggu depan
Gambar Hiasan

Kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan anak Menteri Besar Perlis dan beberapa individu lain dijangka siap minggu depan.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azmi Kamaruzaman, berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan itu.



Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Azmi Kamaruzaman, berkata hasil siasatan dijangka diperoleh minggu depan, menurut portal media FMT yang memetik Sinar Harian.

“SPRM sedang lengkapkan siasatan, saya harap akan ada keputusan (hasil siasatan) minggu depan, mungkin selewat-lewatnya Rabu depan,” katanya.

Sebelum ini anak lelaki Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli dilepaskan dengan jaminan SPRM pada 26 April lalu bersama empat individu lain yang turut ditahan bagi membantu siasatan dakwaan tuntutan palsu RM600,000.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen membabitkan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.



Sementara itu, BH sudah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Pegawai Perhubungan SPRM, Azrai Mohammad bagi mendapatkan komen lanjut namun belum ada jawapan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmi turut menafikan dakwaan terdapat lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis akan ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Buat masa ini, dakwaan tersebut tidak betul,” kata Azmi.

Azmi turut menafikan sekumpulan anggota SPRM Putrajaya berada di Perlis sejak beberapa hari lalu selepas mendapat maklumat baharu berhubung kes berkenaan.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button