Tiada visa haji sah, rakyat dinasihat pulang

Oleh – Syeikh Baran


Tiada visa haji sah, rakyat dinasihat pulang
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim

Mana-mana pihak yang berada di Tanah Suci dinasihatkan untuk pulang ke tanah air sekiranya tidak mempunyai visa haji yang sah.

Peringatan itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim merujuk kepada laporan media yang menyatakan terdapat rakyat Malaysia terkandas di Mekah dan Madinah akibat diperdaya pakej haji menggunakan visa pelancong.



Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sehingga ini, tiada laporan rasmi diterima oleh Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung perkara itu.

“Sehubungan itu, para jemaah haji yang rasa terpedaya dengan janji untuk menunaikan haji, perlu membuat aduan kepada TH, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk siasatan lebih lanjut.

“TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam negara ini supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH,” katanya dalam kenyataan tadi.

Pada masa sama, Mohd. Na’im mengingatkan juga kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada Tabung Haji adalah menjadi satu kesalahan.



Tegasnya, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Terdahulu, media melaporkan, ribuan rakyat Malaysia berada di Madinah dan Mekah ketika ini diperdaya dan dijanjikan pihak agensi tidak bertanggungjawab yang dikatakan menyediakan Visa Haji Mujamalah (visa haji dikeluarkan Arab Saudi) untuk menunaikan ibadah haji, tahun ini.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button