12 jam perjalanan jika cuaca buruk

Oleh – Syeikh Baran


12 jam perjalanan jika cuaca buruk
Mohd Halim (tengah) akan terus memberikan khidmat cemerlang bagi memastikan anak-anak Orang Asli di pedalaman memperoleh ilmu dengan sebaik mungkin.

Sambutan Hari Guru bukan hanya satu majlis memperingati jasa guru dalam mendidik, membimbing dan membentuk anak bangsa sahaja tetapi turut menghargai segala pengorbanan mereka yang tidak boleh diganti dengan wang ringgit.

Istimewanya seorang guru dengan pelbagai panggilan seperti cikgu, ustaz, ustazah ini akan kekal terpahat walaupun berada di alam persaraan.



Kisah-kisah guru terutama di kawasan pedalaman menempuh pelbagai cabaran semata-mata untuk menabur bakti dan mencurahkan ilmu menjadi inspirasi kepada generasi pendidik seterusnya.

Sempena Hari yang disambut hari ini, wartawan HAZELEN LIANA KAMARUDIN, NOR AZURA MD AMIN, ROSHILA MURNI ROSLI, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI, NURFARDLINA IZZATI MOKTAR, FARHANA ABD KADIR, QURRATUL’AINA QUDDUS, ASYIKIN ASMIN dan ZULHISHAM ISAHAK berkongsi kisah suka duka guru-guru di pedalaman.

GUA MUSANG – Demi memastikan anak-anak Orang Asli di pedalaman tidak tercicir dalam pelajaran, seorang guru sanggup bertarung nyawa dengan menempuh hutan tebal, meredah laluan berliku serta berlumpur, termasuk arus deras sungai semata-mata mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar di sini.

Tidak cukup dengan itu, Mohd Halim Mohamed Zaid, 45, yang merupakan guru Bahasa Melayu pernah berdepan pengalaman menakutkan termasuk dikejar gajah sepanjang perjalanan ke sekolah berkenaan dengan menunggang motosikal.



Menurutnya, lebih mengerikan lagi beliau serta rakan yang lain juga perlu berdepan dengan haiwan buas seperti harimau dan sebagainya.

“Jika cuaca baik, saya hanya mengambil masa selama empat jam untuk selamat tiba di SK Balar. Sebaliknya, jika cuaca buruk, perjalanan itu boleh mencecah sehingga 12 jam apabila terpaksa meredah laluan berlumpur akibat hujan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perasaan penat dan sakit badan sepanjang menempuh perjalanan yang sukar itu hilang sekelip mata sebaik sahaja melangkah masuk ke SK Balar.

Ujarnya, walaupun penat, namun sebagai guru, dia tidak boleh mengalah sebaliknya perlu kuat untuk menggalas amanah yang telah diberikan.



Mohd Halim yang sudah empat tahun mengajar di SK Balar mendedahkan perasaan cinta dan kasih terhadap tugas mendidik anak-anak Orang Asli di kawasan itu semakin tebal.

Kata beliau, sungguhpun jauh di pedalaman namun pelbagai aktiviti dilakukan bersama 289 murid di kawasan berkenaan termasuk menggunting rambut secara percuma yang menjadi pengerat kasih terhadap tugas sebagai guru.

“Awalnya perasaan saya bercampur-baur bila dapat tahu ditukarkan ke SK Balar. Sebelum itu saya mengajar di kawasan bandar di Klang, Selangor selama 11 tahun, apabila dapat kawasan pedalaman perasaan risau mula wujud.

“Namun isteri kata, doa saya dimakbulkan. Ini kerana saya seorang pencinta alam dan rimba, dapat berpindah ke sini bagaikan hadiah daripada ALLAH.



“Atas sokongan dan dukungan isteri serta doa ibu, Alhamdulillah perasaan bercampur-baur itu kini bertukar menjadi cinta yang makin menebal,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button