Akmal Saleh ‘mengamuk’ pelajar setahun tiada kerusi meja
Oleh – Syeikh Baran
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh ‘mengamuk’ di sebuah sekolah agama di Melaka selepas mendapat tahu murid-murid di sekolah tersebut tidak mempunyai meja dan kerusi untuk belajar.
Melalui satu klip video di media sosial miliknya, Akmal turut terkejut apabila diberitahu kelengkapan belajar murid-murid itu tidak disediakan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hampir setahun.
Menerusi klip tersebut juga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menjelaskan peruntukan bagi membeli kerusi dan meja itu telah diperolehi JAIM pada akhir tahun lalu.
Difahamkan seorang wakil daripada JAIM menjelaskan perolehan dari bahagian kewangan kerajaan negeri tidak diperolehi sehingga kini.
“Setahu saya peruntukan sudah dapat Disember tahun lepas lagi, kenapa sampai sekarang tidak dapat lagi peruntukan untuk membeli kelengkapan ini. Kesian anak-anak, ustaz tak kesian ke tengok anak-anak ni.
“Nak ambil masa berapa bulan lagi, ini sudah bulan lima. Kalau peruntukan tidak dapat lagi saya tahu la, ini sudah lama dapat,” jelasnya dalam klip tersebut.
Akmal turut dilihat menghubungi seorang pegawai atasan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan peruntukan yang diberikan.
“Tiada masalah semua ni, peruntukan sudah ada, tidak mengapa saya yang beli kelengkapan ini. Kalau ustaz tak nak berkhidmat lagi balik, kalau tak boleh bekerja di Melaka, balik,” tegasnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE.