Dua didakwa subahat baling bom petrol

Oleh – Syeikh Baran


Dua didakwa subahat baling bom petrol
Nor Rahman (baju putih) dan Preemaj ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini.

Dua lelaki yang juga pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat melakukan khianat dengan membaling bom petrol ke arah sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng minggu lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, M. Preemraj dan Nor Rahman Sadik yang kedua-duanya berusia 25 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.



Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersubahat bersama-sama seorang lagi suspek yang masih bebas melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu depan sebuah pusat hiburan sehingga mengakibatkan kerugian RM3,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan kelab berkenaan, di Jalan Yap Kwan Seng di sini pukul 2.17 pagi pada 9 Mei lalu.

Justeru, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 435 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.



Sementara itu, peguam M.V.Yoges yang mewakili kedua-dua tertuduh itu memohon jaminan rendah dengan alasan kedua-duanya menanggung keluarga.

“Nor Rahman mempunyai isteri dan dua anak masing-masing berusia dua tahun dan 17 hari. Mohon jaminan rendah diberikan kerana keluarganya memerlukan kehadiran tertuduh lebih-lebih lagi isterinya yang baru sahaja bersalin.

“Sementara Preemraj pula, dia merupakan pengawal keselamatan sambilan. Anak guam pernah terlibat dalam kemalangan tahun lalu yang menyebabkan tempurung kepalanya retak. Selain itu dia juga mempunyai plat besi yang besar di bahagian kaki menyebabkan dia sukar berjalan, duduk atau berada di tempat yang sejuk,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua pihak, Hakim Hamidah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh dan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.



Mahkamah kemudian menetapkan 21 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular di media sosial satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan empat individu menaiki motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan di ibu negara.

Susulan itu, polis memberkas dua lelaki berusia 25 tahun di sebuah rumah di ibu negara kelmarin bagi membantu siasatan selain bagaimanapun menafikan kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan unsur ekstremisme.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button