Nasib enam bekas penuntut UPNM diketahui 23 Julai

Oleh – Syeikh Baran


Nasib enam bekas penuntut UPNM diketahui 23 Julai
Allahyarham Zulfarhan bersama ibu dan bapanya,

Nasib enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipenjara 18 tahun yang didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu akan diketahui di Mahkamah Rayuan pada 23 Julai ini.

Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.



Keputusan sama ada kesemua mereka kekal dipenjara 18 tahun atau sebaliknya akan ditentukan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama dua lagi hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Ia yang mana panel hakim telah selesai mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak dalam rayuan silang selama tiga hari yang bermula pada Selasa lalu.

“Mahkamah akan menyampaikan keputusan pada 23 Julai pukul 9 pagi,” kata Hakim Hadhariah.

Sebelum ini keenam-enam perayu yang juga responden dalam rayuan itu dihukum penjara mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.



Pada hari sama, mahkamah juga akan memberi keputusan terhadap rayuan 12 lagi bekas penuntut universiti sama yang dihukum penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Kesemua 12 mereka itu ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd. Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut tersebut kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.

Hukuman penjara 18 tahun mengikut Seksyen 304 (a) diberi oleh Hakim Datuk Azman Abdullah selepas melihat kepada pertimbangan pelbagai aspek termasuk semua pihak terjejas terutama kesan dialami keluarga mangsa.



Selain hukuman penjara 18 tahun, lima penuntut itu kecuali Mohamad Shobirin turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun mengikut Seksyen 330 kerana mencederakan Zulfarhan yang mana hukuman berkuatkuasa serentak.

Sebelum ini keenam-enamnya menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu 12 lagi rakan mereka yang dipenjara tiga tahun dibenarkan untuk menggantung hukuman penjara dengan jaminan RM7,000 dikekalkan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.



Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button