Tablet percuma kepada murid dan guru – TPM

Oleh – Syeikh Baran


Tablet percuma kepada murid dan guru – TPM
AHMAD ZAHID (empat dari kiri) dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (tiga dari kiru) serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kanan) bersama penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kempimpinan Pendidikan Kebangsaan di Dewan Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah di Kuantan hari ini.

Kerajaan akan menyediakan ‘tablet’ percuma kepada semua murid dan guru sekolah dalam usaha memperkasakan pembelajaran menggunakan teknologi digital di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian tablet percuma itu akan dilakukan segera secara berfasa berdasarkan kepada peruntukan yang diterima.



“Tablet amat diperlukan bukan hanya dalam kalangan para guru tetapi murid-murid dan pelajar-pelajar kerana pendekatan pembelajaran yang ada telah berubah kepada sistem pembelajaran melalui kaedah digital.

“Walaupun kita tahu kekangan kewangan menjadi faktor utama namun ianya boleh dibuat secara berfasa dan insya Allah saya akan mendokong semua program-program yang telah dirancang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya dalam sidang akhbar pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 di Dewan Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid pemberian tablet berkenaan amat signifikan dan selaras dengan Dasar Pendidikan Digital Negara yang sedang giat dilaksanakan dan amat wajar bagi melaksanakan kaedah pembelajaran melalui sistem digital.

Katanya penyediaan tablet tidak dapat dielakkan kerana pada masa ini sistem pembelajaran dan kaedah pengajaran serta pedagogi digital telah disediakan KPM.



“Kalau dapat dibuat berfasa mulai tahun ini saya fikir ada dalam tempoh empat lima tahun akan datang majoriti pelajar dan murid-murid akan dapat.

“Walaupun tahun ini sebanyak 58.7 bilion telah diperuntukkan kepada KPM namun saya yakin bajet tahun hadapan akan bertambah bagi pembelian perkakasan melaksanakan kaedah pembelajaran melalui sistem digital,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, dalam usaha memastikan Dasar Pendidikan Digital mencapai objektif yang digariskan, sebanyak 8,104 makmal komputer di sekolah perlu dinaiktaraf agar mampu digunakan sepenuhnya oleh guru dan murid.

Justeru beliau meminta pihak Kementerian Pendidikan memberikan keutamaan kepada perkara itu agar kerja dan peranan guru sebagai ‘Jauhari Digital’ seperti mana tema hari guru tahun ini dipermudahkan.



“Selain itu saya turut dimaklumkan pembekalan peranti pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid di makmal komputer telah dilaksanakan secara berfasa, bermula tahun 2022 sehingga kini telah memanfaatkan 11,220 sekolah dengan melibatkan 213,014 unit komputer riba.

“Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) agar dana tambahan untuk pembekalan peranti ini dapat diluluskan seperti yang dipohon oleh pihak kementerian,”ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button