Peniaga didakwa enam pertuduhan cabul anak saudara

Oleh – Syeikh Baran


Peniaga didakwa enam pertuduhan cabul anak saudara
Anggota polis mengiringi tertuduh (kanan) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. Foto oleh ROSALWANI CHE SOH/KOSMO!

Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan mencabul anak saudaranya di dua lokasi berasingan di Bachok dekat sini dalam tempoh dua bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 32 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.



Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki yang mempunyai hubungan amanah dengan anak saudaranya iaitu kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tujuh bulan ketika kejadian didakwa melakukan perbuatan amang seksual dengan mencabul mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di dua buah rumah di Bachok dekat sini pada 26 Februari, 1 Mac, 7 Mac, 25 Mac dan 4 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulbasysyar Saharudin.

Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes yang dihadapi tertuduh amat serius dan melibatkan jenayah seksual.



Muhammad Zulbasysyar dalam rayuannya memohon ikat jamin minimum memandangkan tertuduh merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) masalah penglihatan sejak dua tahun lalu selepas terlibat kemalangan

“Anak guam saya memperoleh pendapatan sebanyak RM40 sehari. Dia juga perlu menyara isteri tidak bekerja dan tiga anak masih kecil selain bapanya berusia 70 tahun yang ketika ini sakit tua,” ujarnya.

Nik Habri kemudiannya membenarkan ikat jamin RM75,000 bagi kesemua kes selain menetapman syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat dan dilarang mengganggu mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 13 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.



Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button