Remaja tembak mati sahabat karib kebas teman wanita
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki di wilayah Samut Prakarn menembak mati sahabat karibnya selepas mendapat tahu bahawa mangsa menjalin hubungan sulit bersama teman wanitanya, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Suspek yang dikenali sebagai Phichate, 18, kemudian menyerah diri di sebuah balai polis dan mengaku perbuatannya.
Menurut Phichate, dia dan mangsa yang berusia 22 tahun, Phongsathorn, merupakan rakan baik dan banyak meluangkan masa bersama-sama.
Disebabkan itu, mangsa turut mengenali rapat teman wanitanya yang berumur 14 tahun.
Tambah suspek, dia menemui beberapa mesej dan gambar mangsa bersama kekasihnya dalam telefon bimbit remaja itu.
Teman wanitanya mengaku mempunyai hubungan sulit dengan mangsa sebelum suspek bertindak melepaskan empat das tembakan yang membunuh Phongsathorn di dalam bilik tidurnya.
Suspek menyerah diri di Balai Polis Bang Phili, manakala pistol yang digunakan untuk membunuh mangsa dirampas.
Dia boleh dijatuhi hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara antara 15 hingga 20 tahun sekiranya didapati bersalah. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE