Rapid Bus bakal uji bas elektrik keluaran baharu Volvo

Oleh – Syeikh Baran


Rapid Bus bakal uji bas elektrik keluaran baharu Volvo
Muhammad Yazurin (tiga dari kanan) bersama Mak (kanan) bergambar di hadapan bas EV keluaran Volvo di Shah Alam semalam

Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) bakal menguji sebuah bas elektrik keluaran baharu Volvo Group (Volvo), iaitu model Volvo BZL-GML Eco Range selama setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, pihaknya berbesar hati untuk menguji bas baharu ke­luaran syarikat automotif yang berpangkalan di Sweden itu mulai Julai ini selaras dengan objektif Rapid Bus yang mahu memperbanyakkan penggunaan bas elektrik menjelang tahun 2030.



“Rapid Bus sudah mempunyai lebih 10 buah bas elektrik yang mana kami mendapati kos ­menyelenggara bas jenis ini adalah kira-kira 30 peratus lebih murah berbanding bas konvensional.

“Kami mengalu-alukan kerjasama ini, seperti yang dizahirkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mahu penggunaan lebih banyak kenderaan jenis eletrik di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) penggunaan bas itu di antara Rapid Bus dengan Volvo Group di pusat pameran Volvo Malaysia Sdn. Bhd. (Volvo Malaysia) di sini semalam.



Dokumen memorandum itu ditandatangani Muhammad Yazurin yang mewakili Rapid Bus manakala Volvo diwakili Pengurus Besar Volvo Buses Malaysia, Marcus Mak.

Muhammad Yazurin me­nerangkan, syarikat tersebut bakal menguji bas Volvo BZL-GML Eco Range di semua laluan operasi Rapid Bus termasuk di kawasan perumahan, bandar serta laluan berbukit bagi menguji kemampuan bas berkenaan.

Sementara itu, Mak berkata, bas tersebut mempunyai 33 tempat duduk dan mampu membawa 91 penumpang dalam satu-satu masa.

“BZL-GML Eco Range akan menggunakan 374 kilowatt/per jam.



“Kami turut memberikan sebuah mesin mengecas bateri boleh bawa kepada Rapid Bus untuk di­letakkan di dalam bas itu sekiranya bateri tersebut telah habis.

“Bas ini mampu mengurangkan pengeluaran karbon kira-kira 329 kilogram (kg) bagi setiap 15,000 kilometer (km) perjalanan,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button