Penembak KLIA ada kes di tiga mahkamah
Oleh – Syeikh Baran
Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes Hafizul Hawari yang sebelum ini didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata pada 15 April lalu.
Hakim Nik Habri Muhamad membuat ketetapan itu selepas pihak pendakwaan menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan hari ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohammad Shafiq Mohammad Lazim.
Mohammad Shafiq ketika ditemui pemberita berkata, prosiding hari ini melibatkan penyerahan dokumen sebelum tarikh sebutan semula yang ditetapkan pada 30 Jun depan.
“Hafizul ketika ini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor memandangkan dia turut menghadapi kes di Mahkamah Sesyen Sepang dan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Hafizul yang merupakan pengurus syarikat agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 24 April lalu atas tujuh pertuduhan tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, peluru dan mercun.
Tertuduh keesokan harinya didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas dua pertuduhan termasuk cuba membunuh isterinya yang dikenali sebagai Ustazah Farah Cie.
Sumber – KOSMO! ONLINE