PRK KKB: Mahkamah Tinggi tolak pengakuan salah warga emas pamer gambar Agong

Oleh – Syeikh Baran


PRK KKB: Mahkamah Tinggi tolak pengakuan salah warga emas pamer gambar Agong
Gambar Hiasan

Mahkamah Tinggi di sini menolak pengakuan bersalah seorang warga emas atas pertuduhan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu awal bulan ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Wendy Ooi Su Ghee memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan difailkan P Ramasamy, 66, terhadap pengakuan bersalahnya sebelum ini di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu.



Pada 6 Mei lepas Ramasamy yang tidak diwakili peguam dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Ooi berkata, mahkamah menolak pengakuan itu atas alasan pemohon (Ramasamy) tidak memahami kesan pengakuan pertuduhan berdasarkan mitigasi yang dikemukakan di Mahkamah Majistret, sekali gus menjadikan pengakuan berkenaan sebagai pengakuan bersyarat.

“Pemohon mengaku bersalah tanpa kelayakan. Ini boleh dilihat menerusi rayuan untuk mengurangkan hukuman apabila dia berulang kali memberitahu mahkamah ‘saya tidak tahu, saya tiada niat, saya bersih hati’.

“Dengan membangkitkan rayuan sedemikian, ia menunjukkan pemohon tidak faham kandungan penting pertuduhan. Mahkamah mendapati pemohon tidak faham sifat dan akibat pertuduhan yang diakuinya itu, jika dia faham, dia tidak merayu untuk mengurangkan hukumannya dengan cara yang sedemikian,” katanya.



Ooi mengarahkan kes berkenaan dikembalikan semula kepada Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu untuk dibicarakan.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Mardhiyah Mohd Ali mewakili Pendakwa Raya sebagai responden manakala Ramasamy yang diwakili peguam L. Pavitra dan Harsimranpreet Kaur tidak hadir ke mahkamah.

Pada prosiding 6 Mei lepas, Mahkamah Majistret mengarahkan Ramasamy yang bekerja sendiri itu, untuk menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 4 Mei dan penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Ramasamy didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH) menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK KKB, untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon PH.



Perbuatan itu dilakukan di sekitar Taman Bukit Bunga dekat sini pada 5.40 petang, 4 Mei lepas, dengan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(A)1 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button