Lelaki rugi RM12,000 dijerat scam cari jodoh

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki rugi RM12,000 dijerat scam cari jodoh
Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas rakannya memaklumkan turut mengenali suspek di aplikasi berkenaan selain mendedahkan modus operandi digunakan suspek. – Gambar hiasan 123RF

Seorang lelaki kerugian RM12,000 selepas terpedaya dengan penipuan ‘Love Scam’ di aplikasi mencari jodoh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan berkata, mangsa berkenalan dengan suspek yang menyamar sebagai perempuan melalui aplikasi terbabit pada Januari lalu.



“Selepas sebulan berkenalan, mangsa juga diminta oleh suspek untuk menjaga adiknya yang kononnya berada di Malaysia, selain meminta bantuan kewangan daripada lelaki itu.

“Mangsa juga memberikan wang melalui pemindahan wang berjumlah RM12,000 ke dalam akaun bank suspek,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Shan Gopal berkata, suspek kemudian mendakwa adiknya telah datang ke United Kingdom untuk menyumbang organ dan meninggal dunia akibat sakit.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas rakannya memaklumkan turut mengenali suspek di aplikasi berkenaan selain mendedahkan modus operandi digunakan suspek,” katanya.



Beliau berkata, susulan itu, polis menangkap suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun di Cyberjaya pada Rabu lalu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button