Peniaga tua rugi RM130,000 ‘dituduh’ curi elektrik

Oleh – Syeikh Baran


Peniaga tua rugi RM130,000 ‘dituduh’ curi elektrik
Gambar Hiasan

Terperdaya dengan panggilan telefon yang mendakwa dirinya terlibat dalam kes kecurian elektrik, seorang peniaga mengalami kerugian RM130,000 selepas menyerahkan maklumat akaun bank kepada pemanggil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pada 24 Mei baru-baru ini, mangsa yang berusia 61 tahun telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Kuantan, Pahang.



Katanya, melalui panggilan itu suspek telah memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam kes kecurian elektrik, bagaimana pun dinafikan oleh mangsa kerana tidak mempunyai kediaman di Kuantan.

“Bagaimanapun, panggilan itu kononnya telah disambungkan kepada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Polis di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang dan menyatakan maklumat peribadi mangsa telah terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa untuk menyerahkan maklumat perbankan mangsa bagi tujuan siasatan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Shahrulanuar Mushaddat lagi, dua hari selepas panggilan itu diterima, mangsa telah membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati berlaku pindahan wang berjumlah RM130,000 berlaku secara berperingkat ke akaun persendirian tanpa disedari.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button