Selesai makan sebungkus nasi kerabu baru minta refund RM28.50
Oleh – Syeikh Baran
Seorang penjual nasi kerabu meluahkan rasa kecewanya apabila seorang pelanggan meminta bayaran balik (refund) sebanyak RM28.50 kerana tidak berpuas hati kerana tidak mendapat pesanan yang sepatutnya.
Jelas penjual tersebut, bayaran penuh itu meliputi harga nasi kerabu sebanyak RM19 beserta RM9.50 caj penghantaran makanan walaupun nasi kerabu yang diterimanya habis dimakan.
“Dia pesan nasi kerabu set special ayam dan daging RM19, tapi dia (pelanggan) dapat set lengkap nasi kerabu ayam bakar madu, kita lupa letak lauk daging yang bernilai RM5. Pelanggan minta bayaran balik secara penuh RM19 dan caj penghantaran RM9.50.
“Sedangkan boleh terus hubungi penjual, ada nombor penjual dan bukan awak tak terima nasi langsung ya. Nasi dah makan, terang-terang pada gambar yang dia hantar tu dia tengah makan. Kenapa minta refund (bayaran balik) penuh?” soal penjual tersebut.
Tambah penjual itu, ketika dia menghubungi pelanggan tersebut dan bertanyakan mengenai nasi kerabu yang telah dihabiskan, pelanggan itu hanya membalas ‘tidak luak pun RM29 tu’.
“Bila saya hubungi dia tanya isu nasi yang dia dah makan nak kira macam mana dan niat saya juga supaya lepas ini jangan buat begini lagi pada penjual lain sebab apa yang awak makan tu jadi darah daging.
“Bila awak sebagai pelanggan minta refund daripada syarikat penghantaran memang bagi sebab dia mesin tanpa perlu penjual sahkan, automatik duit penjual ditolak, tapi tidak dikira halal ya apa yang awak makan.
“RM29 duit saya, termasuk dengan nasi yang awak makan, total RM38 ya. Kamu sebagai manusia kena tahu halal haram, mesin grab dia tidak tahu sebab dia sistem.
“Bagi kamu tak luak sebab kamu dah dapat duit dan makan percuma. Luak bagi aku yang bangun dari pukul 4 pagi, duduk bawah panas terik matahari, penat dengan anak kecil struggle orang niaga sekarang awak tidak tahu,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE