Polis siasat kes bayi 17 bulan didera pengasuh di Kajang

Oleh – Syeikh Baran


Polis siasat kes bayi 17 bulan didera pengasuh di Kajang
Gambar Hiasan

Polis menyiasat kes berhubung dakwaan bayi perempuan berusia 17 bulan didera pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bandar Mahkota Cheras, di sini, Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa bayi berkenaan pada pukul 7.36 malam Rabu lalu.



Menurut laporan bapa mangsa yang juga pemandu e-hailing, anaknya diperlakukan dengan kasar ketika disuap makan dengan rambutnya ditarik serta dipicit hidung.

“Susulan tidak berpuas hati dengan layanan dan perbuatan guru, pengadu telah memberhentikan anak pengadu daripada dihantar ke pusat berkenaan.

“Akibat kekasaran itu hidung anaknya mengalami kecederaan dan pemeriksaan di hospital mengesahkan bayi berkenaan mengalami ‘soft tissue injury’.

“Siasatan lanjut mendapati taska berkenaan beroperasi hampir tiga bulan tetapi disyaki masih belum mempunyai lesen pengoperasian yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Jelas beliau, taska tersebut setakat ini mempunyai sembilan kanak-kanak dalam jagaan dan tiga penjaga merangkap guru.“Kita sudah memanggil pengasuh terbabit untuk dirakam keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk mendapatkan nasihat lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muaz Mazlan di talian 017-9788804 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor,” jelasnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan ibu bapa bayi perempuan itu mendedahkan rakaman video serta gambar anak mereka disumbat makanan secara paksa oleh pengasuh bulan lalu.



Segala bukti difahamkan diperoleh daripada bekas guru taska yang bekerja selama seminggu di pusat berkenaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button