Empat lelaki gaduh guna pisau sudah direman

Oleh – Syeikh Baran


Empat lelaki gaduh guna pisau sudah direman
Tangkap layar kejadian pergaduhan melibatkan empat lelaki di sebuah kedai makan di Jelutong, Sabtu lalu.

Polis mengesahkan penahanan ke atas empat lelaki yang terlibat dalam kejadian pergaduhan menggunakan senjata pisau di sebuah kedai makan di Jelutong di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya telah terkesan dengan satu video tular berdurasi 38 saat menerusi aplikasi X.Com yang memaparkan insiden pergaduhan sekumpulan lelaki.



Menurutnya, hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada 1 Jun lalu membabitkan empat lelaki tempatan, kira-kira pukul 6.30 petang.

“Pihak polis telah menahan reman keempat-empat lelaki berkenaan selama empat hari bermula 2 hingga 5 Jun (esok) serta merampas senjata yang digunakan.

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, petang ini.

Justeru, beliau memberitahu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis dan tidak menularkan rakaman klip video berkenaan bagi mengelak kegusaran.



Terdahulu, tular video yang menunjukkan sekumpulan empat lelaki yang masing-masing bersenjatakan pisau dipercayai pemotong sayur dan kerusi plastik bergaduh di tengah kawasan kedai makan berkenaan.

Kelihatan beberapa orang awam dipercayai peniaga dilihat turut datang membantu meleraikan pergaduhan tersebut.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button