MOT diarah bantu siasat isu kontena ‘terlepas’ di pelabuhan Gelang Patah

Oleh – Syeikh Baran


MOT diarah bantu siasat isu kontena ‘terlepas’ di pelabuhan Gelang Patah
AHMAD ZAHID menandatangani Program Halal On Track @ Johor sambil diperhatikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru hari ini.- Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

Kementerian Pengangkutan (MOT) diarah membantu siasatan terhadap dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan ZIM yang berpangkalan di Israel di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kerajaan tidak berkompromi dengan mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.



“Kita tidak ada hubungan diplomatik termasuk hubungan perdagangan secara langsung dengan Israel.

“Isu yang dibangkitkan oleh seorang ADUN di Johor itu (isu kontena Israel) amat dekat kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, saya tidak fikir kita boleh berkompromi dalam hal ini.

“Saya harap Kementerian Pengangkutan dapat melakukan pemantauan seterusnya terhadap perkara ini supaya tidak berlaku lagi termasuk kapal-kapal Israel berlabuh di mana-mana pelabuhan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Halal On Track 2024@Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru di sini.



Terdahulu, pada Sabtu lalu, Ahmad Zahid mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap kewujudan kontena syarikat perkapalan negara Zionis terbabit.

Beliau dilaporkan berkata, jika ada barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, maka perkara itu harus dipantau pihak berkuasa.

Kelmarin, media melaporkan kewujudan kontena itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata, beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button