Polis cari lelaki bernama Deni

Oleh – Syeikh Baran


Polis cari lelaki bernama Deni
YAHAYA Othman (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang anggota polis pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang bagi bulan Jun 2024 di IPK Pahang di Kuantan hari ini.

Polis mengesan seorang individu dikenali sebagai Deni bagi membantu siasatan kes pembunuhan melibatkan lelaki warga Indonesia di Tringkap, Cameron Highlands pada hujung bulan lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya mengenal pasti lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dipercayai masih bersembunyi di sekitar Cameron Highlands.



“Kita masih menjalankan siasatan dan sudah mengenal pasti suspek yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Sebelum ini seorang pekebun Indonesia berusia 50 tahun maut, manakala rakannya parah selepas terlibat dalam pergaduhan di tepi jalan di Tringkap, Cameron Highlands pada 30 Mei lalu.

Menurut Yahaya, pihaknya mempunyai maklumat berkaitan suspek dan meminta rakan suspek atau orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada polis.

“Kita sudah kesan majikan suspek dan memiliki pasport lelaki itu. Kita percaya suspek dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yahaya memberitahu, statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang menunjukkan penurunan kadar kemalangan maut sebanyak 19 kes, iaitu 175 kes dalam tempoh lima bulan tahun ini berbanding 194 kes dalam tempoh sama tahun lalu.



Katanya, sebanyak 101,430 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan kompaun berjumlah RM 2.2 juta.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button