4 sekawan aktif samun rumah pempengaruh, ditahan babit kes Kieda Crepe

Oleh – Syeikh Baran


4 sekawan aktif samun rumah pempengaruh, ditahan babit kes Kieda Crepe
Empat sekawan direman bagi membantu siasatan kes pecah rumah dan larikan barang kemas di Mahkamah Majistret Butterworth, hari ini.

Empat sekawan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah masuk rumah dan melarikan barang kemas bernilai RM800,000 milik pempengaruh, Kieda Crepe di Kepala Batas, April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Zulkeflee Sulaiman berkata, masing-masing dua wanita dan dua lelaki berusia antara 20 hingga 27 tahun itu ditahan di hadapan Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.



Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara melakukan tangkapan sebaik kesemua suspek selesai menjalani prosiding membabitkan satu kes pecah rumah di ibu negara.

“Polis turut merampas sejumlah barang kemas dengan anggaran nilai RM40,000 dan kita akan panggil pengadu untuk melakukan pengecaman.

“Kesemua suspek yang berasal dari negeri di Selatan dan Pantai Timur itu direman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zulkeflee berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek terbabit aktif dalam kegiatan pecah masuk rumah pempengaruh di negara ini.



Terdahulu, media melaporkan usahawan makanan, Kieda Crepe mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM800,000 selepas peti besi mengandungi barangan kemas miliknya dilarikan perompak.

Kejadian disedari sebaik dia dan keluarga pulang ke rumah kira-kira jam 11.40 malam dan mendapati tingkap kediamannya telah diumpil dan mendapati sebuah peti besi mengandungi barang kemas dilarikan perompak.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button