Dasar TVET Negara 2030 lahir individu berkemahiran, berpendidikan

Oleh – Syeikh Baran


Dasar TVET Negara 2030 lahir individu berkemahiran, berpendidikan
Pelbagai promosi dan infomasi mengenai program TVET untuk menarik minat golongan remaja menyertainya. – Gambar hiasan

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) disifatkan menjadi asas penting kepada penyediaan membentuk individu yang berpendidikan serta berkemahiran melalui proses pendidikan dan latihan yang menjurus ke arah pekerjaan.

Dalam konteks ini, TVET menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat yang meliputi peringkat sekolah menengah, lepasan sekolah sehingga ke tenaga kerja industri melalui latihan berasaskan pekerjaan serta latihan berterusan dan pembangunan profesional.



Secara umumnya, TVET memainkan peranan signifikan dalam membangunkan bakat masa hadapan, sekali gus memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat berkua­liti untuk merealisasikan agenda besar negara.

Lantaran itu, kerajaan terus memainkan peranan dengan memberi penekanan kepada TVET berikutan menyedari permintaan dan keperluan industri kepada modal insan yang berkeupayaan seiring peredaran teknologi pantas ketika ini.

Pun begitu, meskipun TVET menjadi pemacu utama atau ‘game changer’ bagi melahirkan tenaga mahir tempatan, namun sektor itu turut dilihat berdepan dengan beberapa isu semasa dan cabaran yang perlu diselesaikan dengan sebaiknya.

pelajar diberi pendedahan terhadap bidang kerja yang diminati. – Gambar hiasan

Menerusi cabaran dan isu yang timbul, sektor TVET memerlukan penyelarasan serta komitmen berterusan merentasi semua pemegang taruh bagi menyelesaikan isu-isu yang wujud.



Antaranya melibatkan aspek ­tadbir urus, kualiti, hubungan industri, pembiayaan serta penjenamaan.
Dalam situasi ini, pelaksanaan TVET yang merentasi pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri telah menyebabkan wujudnya ketidakselarasan khususnya dalam aspek peranan selain tanggungjawab dan pengoperasian.

Pertindihan fungsi dan skop dalam pengendalian program TVET juga merupakan antara topik penting yang dibangkitkan masyarakat di mana keterbatasan penyelarasan pengumpulan data menyebabkan landskap TVET sebenar sukar untuk dilihat.

Selain itu, kualiti program dan graduan TVET juga sering menjadi perhatian umum dan usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi perlu meliputi pelbagai aspek termasuklah reka bentuk, penyampaian dan kajian semula kurikulum TVET.

Ini kerana, pemain industri berpandangan bahawa kurikulum TVET sedia ada perlu selari dengan keperluan industri bagi menangkis persepsi negatif terhadap program TVET tempatan.



Pembiayaan TVET juga berdepan dengan pelbagai cabaran seperti input belanjawan secara berpusat, birokrasi, tiada penyeragaman yuran serta kebergantungan tinggi kepada dana kerajaan.

Agihan pembiayaan adalah berdasarkan rekod perbelanjaan dan enrolmen pelajar bagi tahun-tahun sebelumnya tanpa mengira prestasi sebenar sesebuah institusi itu sendiri.

Pada masa sama, ekosistem TVET yang tidak selaras turut memberi kesan dan impak negatif terhadap reputasi dan imej TVET di mana sehingga kini tiada jenama tunggal yang digunakan secara bersama dalam mempromosikan program TVET.

Ketidakselarasan aktiviti promosi dan kepelbagaian penjenamaan TVET yang digunakan merentasi pelbagai kementerian dan agensi juga disifatkan telah menimbulkan kekeliruan masyarakat tentang kewujudan sistem atau jenama TVET itu sendiri.



Susulan itu, Dasar TVET Negara 2030 menjadi antara usaha penyelarasan pelaksanaan program TVET di Malaysia di mana ia mengambil kira dasar sedia ada yang berkaitan seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Tinggi Nasional selain akta sedia ada seperti Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) dan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679).

Dasar TVET dapat melahirkan generasi pekerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang kerja yang diceburi pelajar. – gambar hiasan

Oleh itu, satu dasar komprehensif diperlukan bagi memastikan pemerkasaan TVET dapat dicapai secara holistik yang mana ia berperanan sebagai rujukan dalam memandu institusi TVET menawar dan melaksana program berkualiti berdasarkan keperluan industri.

Dasar TVET Negara 2030 ini bermatlamat membawa Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui pelaksanaan program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif.

Dalam usaha merealisasikan visi dan misi yang digariskan, objektif utama pembangunan dan pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030 adalah sebagai garis panduan dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri seperti yang digariskan kerajaan sebelum ini.



Sebagai maklumat, Dasar TVET Negara 2030 mengandungi sebanyak lima teras strategik bagi merealisasikan visi, misi dan objektif pelaksanaan TVET di Malaysia yang akan dilaksanakan oleh semua pemegang taruh secara langsung dan tidak langsung.

Jadi, secara keseluruhannya, Dasar TVET Negara 2030 merupakan rujukan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan TVET secara holistik sehingga tahun 2030.

Dasar ini menggariskan kepen­tingan kerjasama kolektif di antara kerajaan, institusi TVET awam dan swasta serta industri dalam memacu pembangunan modal ­insan berkemahiran negara.

Kejayaan pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030 ini sangat signifikan untuk mengekalkan daya saing global terutama dalam bidang TVET yang bermatlamat untuk melahirkan pekerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button