Operasi SAR 7 jam cari iPhone wanita jatuh celah batu

Oleh – Syeikh Baran


Operasi SAR 7 jam cari iPhone wanita jatuh celah batu
OPERASI menyelamat berjaya menemui iPhone milik seorang wanita di tepi pantai Kerala. – Foto @antiliyachalets

Satu rakaman  video tular memaparkan ‘operasi mencari dan menyelamat (SAR)’ untuk mendapatkan semula telefon pintar  iPhone milik seorang wanita bernilai 150,000 rupee (RM8,433) yang jatuh di celah batu di tepi pantai, lapor portal berita The Indian Express.

Telefon itu milik seorang wanita yang meminta bantuan daripada kakitangan sebuah resort di Varkala, Kerala yang menjadi tempat penginapannya.



Apa yang berlaku seterusnya ialah operasi selama tujuh jam dilancarkan untuk mendapatkan semula telefon bimbit itu.

Kakitangan resort turut mendapatkan bantuan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Kerala. 

Video yang merakamkan detik-detik sepanjang operasi panjang itu dikongsi di platform Instagram rasmi resort @antiliyachalets.

Kapsyen itu menyebut ombak dan angin yang kuat menyebabkan operasi itu sukar. 



Namun, pasukan bomba dan kakitangan resort akhirnya berjaya mendapatkan semula telefon bimbit yang hilang. 

Pengguna media sosial yang menonton video tersebut memberikan komen berbeza dengan ada yang kecewa kerana bomba dipanggil untuk tugasan bukan kecemasan, manakala netizen lain menganggap kejadian itu melucukan. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button