Op HUU: Polis KL keluar 16,496 saman dalam tempoh lima hari

Oleh – Syeikh Baran


Op HUU: Polis KL keluar 16,496 saman dalam tempoh lima hari
Sekatan jalan raya yang dibuat sempena Op HUU di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Polis Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 16,496 saman dalam tempoh lima hari pelaksanaan Ops Hormat Undang-Undang Jalan Raya (HUU) di ibu negara bermula 4 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, halangan lalu lintas atau parkir merupakan kesalahan tertinggi direkodkan dalam tempoh tersebut.



“Kesalahan tertinggi halangan lalu lintas sebanyak 12,376 saman, berhenti petak kuning (26), berhenti di laluan pejalan kaki (707), tiada lesen memandu (470), kesalahan nombor plat (238), dan cukai jalan tamat tempoh (316).

“Selain itu kesalahan tiada insuran (lapan), tidak ikat topi keledar (53), tiada nombor pendaftaran (122), tiada cermin sisi (195), menggunakan telefon (100), tidak tampal P (121), lesen tamat tempoh (73), lampu brek tidak fungsi (tiga), ubahsuai kenderaan (28),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, seramai 188 pegawai kanan dan 2,183 anggota JSPT Kuala Lumpur ditugaskan sepanjang tempoh tersebut selain dibantu beberapa anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, sebanyak 196 operasi dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negara antaranya OP Telefon Bimbit, OP Motosikal, OP Had Laju/LSD, OP Perdagangan, OP Halangan.



“JSPT Kuala Lumpur juga melakukan sebanyak 34 tangkapan dan turut menyita dua buah motosikal dan sebuah lori,”katanya.

31 Mei lalu, media melaporkan Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan operasi trafik secara besar-besaran menerusi Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya (Op HUU) di seluruh ibu kota, bermula 4 Jun sehingga 15 Jun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dianggarkan 200 anggota ditugaskan setiap hari terdiri daripada pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis dari jabatan dan daerah Kontinjen Kuala Lumpur.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button