Lelaki dakwa ‘cop’ parkir di flat perkara biasa
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki menerima kecaman orang ramai apabila mendakwa tindakan meletakkan kon di petak parkir di kawasan perumahan flat adalah perkara biasa.
Melalui sebuah rakaman yang tular di aplikasi X, lelaki itu dirakam ketika memarahi seorang pemandu yang mempertikaikan tindakan lelaki terbabit yang tidak membenarkan kenderaannya diletakkan di sebuah petak parkir.
Pemandu yang merupakan perakam video itu berkata, lelaki berkenaan meninggikan suara terhadapnya kerana mendakwa petak parkir tersebut adalah milik lelaki terbabit.
Lelaki itu kemudian berkata, perkara tersebut adalah normal kerana dia sudah membeli rumah di situ dengan harga berpuluh ribu ringgit.
“Katanya normal ‘cop’ parking sebab bayar berpuluh ribu, sedangkan duduk rumah flat,” tulis kapsyen video tersebut.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan lelaki tersebut.
“Patutnya kalau langgar saja kon tu lepas itu telefon polis nak tengok dia malu ke tak,” kata Zen.
“Ini flat Bukit Angkasa, Pantai Dalam, memang banyak parkir yang ada tuan tanah, kalau masuk mesti calar kereta,” kata Jefri.
“Bayar puluh ribu, orang lain duduk kondominium ratus ribu tak perlu cop, dapat petak parkir terus,” kata Fateh.
Sehingga kini video tersebut telah meraih lebih 7,000 tontonan.
Sumber – KOSMO! ONLINE