MB Perak sedia bantu SPRM siasat kes seleweng tanah rizab Melayu

Oleh – Syeikh Baran


MB Perak sedia bantu SPRM siasat kes seleweng tanah rizab Melayu
SAARANI (tiga dari kiri) pada sidang media selepas Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua PS2030 di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, Seri Manjung, hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sedia memberi kerjasama termasuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan ke penyelewengan penukaran hak milik tanah rizab Melayu di negeri ini.

Beliau yang juga salah seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak ketika kejadian itu berlaku pada 2012, bagaimanapun menjelaskan sehingga kini masih belum menerima sebarang panggilan daripada agensi tersebut berkaitan kes tersebut.



“Saya tiada masalah, jika SPRM panggil untuk beri keterangan, kita akan berilah.

“Saya tidak tahu bila (kes seleweng tanah rizab Melayu), tetapi saya menjadi Exco dalam tempoh itu, saya menjadi Exco bermula 2004 hingga 2008, sebelum terhenti seketika dan kemudian, dilantik semula dari 2019 hingga 2018.

“Jadi, jika (memang) berlaku dalam tempoh itu, saya bersedia bekerjasama dengan SPRM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka, Seri Manjung, hari ini.

Semalam, media melaporkan SPRM akan memanggil beberapa ahli MMK Negeri Perak bagi membantu siasatan berkaitan penukaran hak milik tanah rizab Melayu di Sitiawan, dekat sini.



Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, ahli-ahli MMK yang akan dipanggil itu merupakan mereka yang berkhidmat ketika penukaran status tanah tersebut berlaku.

Selain itu, SPRM turut dilaporkan akan memanggil beberapa saksi lain terutama kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button