SPRM tahan reman dua penguat kuasa minta rasuah RM1,000

Oleh – Syeikh Baran


SPRM tahan reman dua penguat kuasa minta rasuah RM1,000
Dua orang anggota yang ditahan reman atas kesalahan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1,000.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan reman dua anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1,000 sebagai balasan untuk tidak menangkap pengadu kerana menjual rokok tanpa cukai.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang merupakan lelaki berusia sekitar 30-an ditahan kira-kira pukul 2 pagi, semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Cawangan Seberang Perai, Pulau Pinang.



Susulan penahanan tersebut, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Georgetown, Pulau Pinang, pagi tadi.

Menurutnya, perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 14 Jun terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Syahirah Abdul Salim.

“Kedua-dua suspek disyaki meminta duit daripada seorang warga asing yang juga pengadu atas alasan kesalahan menjual rokok tanpa cukai.

“Salah seorang suspek meminta wang sebanyak kira-kira RM2,000 sebagai balasan untuk tidak menangkap pengadu.



“Suspek bersetuju untuk menerima wang kira-kira RM1,000 beserta dua karton rokok. Kedua-dua suspek juga disyaki meminta pembayaran rasuah secara bulanan daripada pengadu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button