Pembantu penguat kuasa JPJ tak mengaku terima suapan RM8,000

Oleh – Syeikh Baran


Pembantu penguat kuasa JPJ tak mengaku terima suapan RM8,000
Zainuddin (dua dari kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. – Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO!

Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas lapan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM8,000 daripada pengarah syarikat logistik, enam tahun lalu.

Tertuduh, Zainuddin Jaafar, 53, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.



Berdasarkan pertuduhan pertama hingga kelapan, tertuduh didakwa menerima wang RM1,000 setiap bulan daripada seorang pengarah syarikat logistik berkaitan penguatkuasaan ke atas lori mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh didakwa menerima wang tersebut menerusi akaun bank isterinya yang berusia 48 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Mei hingga Disember 2018 di sebuah cawangan bank di Taman Desa Murni, Butterworth.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Y. Anbananthan.



Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 beserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melaporkan diri pejabat SPRM setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Julai depan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button