Wang pinjaman tak dapat, deposit RM146,020 ‘hangus’
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pemilik salon mengalami kerugian sebanyak RM146,020 selepas terpedaya dengan sindiket scammer yang menggunakan modus operandi pinjaman wang dalam talian, di sini hujung bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan mangsa iaitu seorang wanita berusia 28 tahun, kelmarin.
Menurutnya, mangsa melihat iklan berhubung pinjaman wang berkenaan di media sosial, sebelum menghubungi nombor telefon yang tertera.
“Suspek juga memperdaya mangsa dengan meminta pembayaran setem duti, kredit ‘scoring’ sebelum dijanjikan pinjaman akan diterima selepas mangsa membuat pembayaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, mangsa mengikut arahan suspek dan membuat sebanyak 16 transaksi pembayaran berjumlah keseluruhan RM146,020 ke dalam beberapa akaun bank tempatan.
“Selepas pembayaran dibuat, suspek mendesak mangsa untuk membuat pembayaran lain bagi tujuan ‘meluluskan’ wang pinjaman namun mangsa enggan berbuat demikian.
“Sehingga kini mangsa masih belum menerima wang pinjaman seperti yang dijanjikan suspek, menyebabkan mangsa sedar telah ditipu dan terus membuat laporan polis,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE