Warga asing dikurung, baru 8 hari tiba di Malaysia

Oleh – Syeikh Baran


Warga asing dikurung, baru 8 hari tiba di Malaysia
SEBAHAGIAN warga asing disyaki mangsa eksploitasi buruh paksa berjaya diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah bangunan di Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang di Bagan Datuk pada Selasa lalu.

Polis menyelamatkan seramai 26 lelaki warga asing disyaki menjadi buruh paksa dalam operasi di sebuah bangunan di Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang dekat sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk pada pukul 1.30 pagi.



“Pemeriksaan di bangunan itu membawa kepada penahanan lelaki tempatan berusia 52 tahun dan lelaki Bangladesh berusia 35 yang bertindak sebagai penjaga warga asing itu.

“Kedua-dua suspek diarahkan membuka pintu jeriji sebelum pihak polis menjumpai 24 lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga India.

“Berdasarkan temu bual, kesemua mereka yang berusia 22 hingga 51 tahun itu dikurung bagi melakukan kerja-kerja ladang di kawasan sekitar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Siasatan mendapati kesemua mangsa baru lapan hari berada di negara ini dan ditempatkan di bangunan berkenaan.



“Hasil soal siasat kita menahan lelaki tempatan berusia 32 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button