Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut kemalangan di Karak

Oleh – Syeikh Baran


Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut kemalangan di Karak
Gambar Hiasan

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta dan dua motosikal di kilometer (KM) 22.8 Lebuh Raya Karak menghala ke Gombak, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian pada pukul 1 pagi.



Menurutnya, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Exora yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun dari Jerantut menghala ke Dengkil.

“Kereta terbabit telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki yang ditunggang seorang lelaki berusia 47 tahun.

“Mangsa kemudian jatuh di atas jalan raya dan bergesel dengan dua lagi motosikal berkuasa tinggi jenis sama,” ujarnya.

Noor Ariffin berkata, akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.



“Dua lagi penunggang yang berusia 46 tahun dan 27 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur serta Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambah Noor Ariffin, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Noor Farah Hanim Abu Bakar di talian 019-3311552.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button