Peguam ‘cair’ cinta kekasih warga asing rugi RM1.75 juta

Oleh – Syeikh Baran


Peguam ‘cair’ cinta kekasih warga asing rugi RM1.75 juta

Gara-gara dilamun cinta maya, seorang peguam wanita berputih mata apabila wang sebanyak RM1.75 juta lesap selepas diperdaya kekasih yang baru dikenali sekitar dua bulan melalui aplikasi WhatsApp.



Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mangsa berusia 58 tahun dari Ipoh itu berkenalan dengan lelaki warga asing yang mendakwa bekerja sebagai ahli geologi marin, pada 18 Julai lalu.

Katanya, suspek memaklumkan kepada mangsa yang dia datang ke negara ini untuk satu projek pembinaan tangki dasar laut di Terengganu.

“Ketika sampai ke Malaysia, suspek memberitahu mangsa yang dia telah dirompak dan kehilangan wang tunai. Disebabkan masalah itu, dia meminta bantuan mangsa untuk menghantar wang ke dalam beberapa akaun berbeza.

“Mangsa yang terpedaya dengan helah tersebut telah memasukkan wang menerusi lapan akaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.75 juta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Libat Urus: Scammer Alert dan Jenayah Semasa di sini hari ini.



Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak, Shamsuddin Tajul Urus.

Mengulas lanjut beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima bayaran balik wang tersebut seperti yang dijanjikan suspek.

“Mangsa telah membuat laporan polis semalam di Balai Polis Pekan Bharu, Ipoh dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, daerah Hilir Perak merekodkan kerugian RM2 juta membabitkan jenayah penipuan dalam talian bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.



“Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sebanyak 15 kes direkodkan di Hilir Perak berbanding 18 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Ini menunjukkan penurunan sebanyak tiga kes,” ujar beliau.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button